Thursday 27 February 2014

Disaat aku diuji dengan kesepian dan kerinduan...


Muhammad s.a.w kekasih Allah itu kehilangan ibu dan bapanya tanpa sempat mengenali mereka, adakah itu petanda dia dibenci Allah?

Nabi Yaakub yang diuji dengan kehilangan anaknya Yusuf sehingga buta matanya, apakah petanda mereka itu tidak disukai Allah?
Ayub a.s yang diuji penyakit, Yahya A.S dipenggal kepalanya itu apakah petanda mereka itu tidak disenangi Allah?
Tidak lain mereka ini insan insan yang terpilih, yang tidak sunyi daripada ujian Allah, sepanjang kehidupan mereka, dan bersyukurlah mereka yang dipilih oleh Allah untuk melalui denai denai bekas laluan yang pernah dilalui oleh para Nabi kekasih Allah ini.
Image
Kehidupan saya semenjak kecil lagi telah diajar dengan ‘kehilangan’, pemergian orang orang yang saya sayang silih berganti, saya kehilangan datuk yang memelihara saya ..dialah tempat saya bermanja,kemudian ayah saya yang tidak dapat saya lihat kuburnya..dimanakah jasadnya disemadikan..juga kehilangan adik, abang dan ibu dan mungkin ada dalam kalangan anda hanya mengenali bapa mereka melalui nama yang ada pada bin dan binti mereka sahaja juga hanya mengenal nama-nama mereka setelah ketiadaan mereka..
Menyedari hakikat bahawa insan insan di sekeliling saya ini hanyalah pinjaman sementara sahaja di dunia ini, tidak lain hati ini lebih cekal dan bersedia tatkala diberitakan dengan pemergian mereka.
Tetapi yang memedihkan dan menyakitkan adalah tatkala bayangan mereka yang telah tiada itu datang mengetuk fikiran dan perasaan, suara mereka datang menyerbu dibibir telinga tatkala keseorangan, dan yang lebih memerihkan adalah tatkala mengenangkan bahawa watak watak yang pernah bersama kita menatap bulan dan mentari itu tidak akan kembali lagi kepada kita sampai bila bila.
Menghadapi hari hari setelah mereka tiada, kesepian yang datang, tiada lagi teman berkongsi cerita, tiada lagi teman buat menyambut tawa dan tiada lagi bahu tempat menumpang esak tangis, peritnya kesepian itu, kerana tiadalah ia terserlah pada zahir mata yang memandang, tetapi ia terpendam pada jiwa jiwa yang dipalut kesedihan dan kesunyian.
Marilah kita memohon kepada Allah agar diuruskan hidup kita ini dengan sebaik baiknya, apabila kita bertawakkal kepada Allah, menyerahkan untung nasib diri kepada Allah, sekalipun di kiri dan kanan, bawah dan atas kita sudah tidak punya siapa siapa dan apa apa di dunia ini, namun Allah masih ada dan kita memohon agar Allah tidak pernah meninggalkan kita walaupun sedetik...
Hidup ini, andai diserahkan kepada Allah sepenuhnya, apa yang disangka tewas oleh manusia, tetapi kebahagiaan yang mendatang.
Tatkala manusia melihat ibarat gunung sedang menimpanya, tetapi baginya hanyalah bagaikan debu berterbangan.
” Ya Hayyu Ya Qayyum, dengan rahmat Mu aku memohon pertolongan, janganlah engkau tinggalkan kami walau sekelip mata! “
Rahmat Allah beserta keampunan kepada mereka yang telah mendahului kita.
Dari Allah kita datang, kepada Allah jualah kita akan dikembalikan.
Justeru, kita yang bakal meninggalkan dunia ini, tinggalkanlah sebanyak mungkin kenangan berupa kebaikan kebaikan, kepada orang disekeliling kita.
Kalau tidak mampu meninggalkan kebaikan yang banyak, jangan pula memperbanyak keburukan yang bisa menjadi pahit dan kebencian orang kepada kita selepas kita tiada.
Biarlah sedikit kebaikan itu, tetapi keburukan kita payah sekali mahu diungkit orang selepas kita tiada.
Kebaikan yang sedikit  itu jualah yang dikenang oleh sekalian orang , boleh menjadi penyebab turunnya rahmat dan keampunan Allah saat kita telah tiada nanti di dunia ini.
Mudah mudahan dengan kenangan yang telah kita tinggalkan ia menjadi asbab bagi orang lain untuk ‘menjemput’ doa mereka, doa berupa keampunan kepada kita saat kita telah tiada kelak.
Boleh jadi ia menjadi jariah yang cukup besar di mata penduduk langit, walaupun kecil nilaianya pada pandangan mata kita.
Suatu hari nanti, di akhirat kelak, saya teringin moga moga Allah menghimpunkan semula dengan mereka-mereka yang telah pergi mendahului saya ..lagu hariraya lama yang dinyanyikan oleh Rashidah Baharudin.."fajar lebaran yang kudus"..menggamit memori saya pada mereka yang terlebih dahulu berhijrah ke alam abadi..meninggalkan kesan yang amat mendalam dihati dan sanubari saya...Moga Allah menghimpunkan kami semua dijannah Nya kelak. Insya Allah.