Saturday 31 March 2018

Menjelajah Bumi Tasmania





Pulau Tasmania lama sudah saya impikan untuk menjejakkan kaki di sini. Pulau selatan Australia ini penuh dengan rahsia  yang masih menjadi misteri dengan keindahan alam semula jadinya yang masih belum terusik. Kedudukannya hampir dengan Kutub Selatan.


Bila kata sepakat dari grup GST (Geng Suka Travel)  untuk membuat lawatan ke Pulau ini saya tidak teragak-agak untuk mendaftarkan diri. Ketua rombongannya yang sudah biasa saya kenali dan sudah beberapa kali bersamanya melancung keluar negara bersama.


Bertolak dari Kuala lumpur jam 10.50 malam menuju ke Melbourne. Perjalanan mengambil masa 7 jam 50 minit dan beza waktu 3 jam lebih awal dari waktu di Malaysia. Jam 9 pagi kami sampai ke Airport Melbourne Australia. Seterusnya kami menaiki penerbangan Jetstar ke Hobart yang mengambil masa 1jam 30 minit, dan kami disambut oleh Tour Guide kami "Jutawan Tour" yang berasal dari Malaysia.


                          bandar Melbourne dari udara sebelum mendarat di Melbourne
                                                 Sesampainya di Airport Hobart

Day 2: (Jumaat 9 Mac 2018) Melbourne to Hobart

Setibanya di Hobart kami dibawa ke Travelogde hotel untuk menyegarkan diri. Sebuah hotel yang cukup selesa setelah penat seharian. Pada sebelah petangnya kami dibawa bersiar-siar melihat keindahan pantai di Hobart dan sekitar bandarnya yang terletak di tepi muara sungai Derwent.

Hobart merupakan bandar utama di pulau Tasmania ini. Cuaca agak sejuk terutama bila menjelang waktu petang dan malam. Angin yang berhembus kuat menambahkan kedinginannya. Suhu sekitar 9  degree cel. Kami menginap di Travelodge hotel yang terletak begitu hampir dengan airport Hobart.  Seramai 12 orang jelitawan  perserta rombongan pada kali ini. Kami kebandar Hobart untuk mencari kedai makan bagi mengisi perut. Kebanyakkan kedai-kedai disini tutup lebih awal dan keadaan bandar yang sunyi sepi. Terdapat sebuah kedai makan India yang dikatakan halal. disini saya menikmati roti nan garlic  dan kuah dhal bagi mengisi perut dengan bayaran 14 AUD. dan pulang ke hotel untuk berehat
                                                                pohon zaiton yang sedang lebat berbuah




















































   Pemandangan di Sekitar Travelodge Hotel dan pantai di Hobart dan sekitar bandar Hobart


Day 3:( Sabtu 10 mac 2018) Hobart- Port Athur- Hobart

Jam 900 setelah selesai menikmati sarapan pagi kami memulakan perjalanan menjelajah sekitar bandar Hobart buat hari kedua. Kami ke pasar Salamanca (Salamanca market) yang dibuka hanya pada setiap hari Sabtu. Pasar ini kalau ditempat kita ala-ala Petaling Street. Kebanyakkan barangan yang dijual adalah hasil craft tangan tempatan dari kulit, kayu dan ukiran yang cukup cantik, barangan kecantikan diri dari bunga lavender menawan hati saya. Harum semerbak dan halus buatannya membuatkan saya membeli beberapa buku sabun dan losyen hasil dari bahan tersebut. Buah-buahan segar seperti prune, epal, pear juga menawan hati saya. Membeli belah dipasar ini amat mengasyikkan dan agak murah. Aud demi aud melayang dek leka dan terpikat dengan bahan yang dijual. Setelah itu kami dibawa makan tengahari di Hobart Waterfront. Fish and chip pilihan saya yang terletak di Elizabeth Pier berhampiran dermaga.
























Terdapat sebuah universiti disini. Universiti of Tasmania. Di Hobart agak susah mencari kedai halal. Selalunya jika saya bermusafir, mini ricecooker, sambal bilis, Brahim dan daging dendeng akan saya bawa bersama walaupun pakej ada menyediakan makan tengahari dan malam. Saya cukup maklum walaupun semua disediakan tekak melayu saya tidak dapat menerimanya lebih dari dua hari terutama makanan yang bukan berasaskan nasi. Di sebabkan Australia mempunyai kawalan yang agak ketat akan barangan dari luar terutama yang berasaskan tenusu dan daging membuatkan saya malas membawanya bersama. Semua kena "declare" di pusat kawalan Imigresen kadangkala nasib kurang baik, beg kita diselongkar habis dan ada barangan yang terpaksa dibuang begitu juga dengan ubat-ubatan . Anjing pengesan yang begitu taat setia tidak akan berganjak dari bagasi kita jika dihidunya ada barang-barang terkawal yang dilarang dibawa masuk. Kali ini saya pasrah, mee maggi pun tidak saya bawa bersama.
      
























Di Hobart Waterfront kami menikmati keindahan pantai disitu. Beberapa kapal mewah dan kapal layar yang berlabuh dan kelihatan juga anjing-anjing laut  berenang-berenang di air yang hijau kebiruan , jernih! Walaupun panahan matahari agak terik tetapi tidak terasa akan sengatannya dan tidak berpeluh.Nyaman.


 

Seterusnya kami  ke Eaglehawk Neck. Disini kami berpeluang menikmati keindahan alam semulajadi, Blow Hole, Tasman Arch, The Devil Kitchen di taman Tasmania Nasional. Keindahan alam semula jadi yang masih kekal tanpa sentuhan membuat saya terpaku melihat batu batan hasil kerja alam sejak ribuan tahun dahulu dan pantai yang bersih dengan air laut yang hijau kebiru-biruan. Betapa indah bumi Tuhan ini jika diterokai. Saya kurang faham mengapa di Tasmania ini terlalu banyak penggunaan perkataan "devil" apakah rahsia disebalik perkataan ini.









 devil kitchen


Seterusnya kami dibawa ke Port Athur di Tasmania Peninsular. Bangunan tinggalan sejarah zaman kolonial Lt George Athur pada tahun 1830an lagi. Port Athur merupakan pusat kehakiman dizaman tersebut. Pesalah ditahan dan dijatuhkan hukuman disini hingga ditutup pada tahun 1877. Kebanyakkan bangunanannya masih lagi kukuh dan dipelihara dengan baik. Disebabkan kesihatan saya kurang mengizinkan kerana setibanya saya di Tassie saya diserang batuk dan selsema,saya tidak mengikuti ahli rombongan menjelajah disekitar Port Athur yang terletak diatas bukit dan cuma melihat dari jauh sahaja. Merenung arah pulau yang dikenali isle of the dead. Terfikir oleh saya adakah pesalah yang dijatuhkan hukuman mati di hukum di pulau ini......



          Pulau Isle of the dead dihadapan kami



























 Pada sebelah malamnya kami mendapat jemputan makan malam dirumah Imam Sabri Samson. Kami dijamu dengan makan malam yang cukup enak hasil airtangan tuan imam sendiri. Salmon kari thai, rendang lala, sayur campur, sambal udang dan sambal "totok" . Bercerita kisah pengorbanannya meninggalkan tanah air tercinta 49 tahun lalu untuk menetap di bumi Tasmania  setelah berkahwin dengan warga tempatan setelah tamat belajar di sini dan seterusnya menyebarkan dakwah Islam mengagumkan sesiapa sahaja yang berpeluang mengenalinya, ramah dan mudah berbicara. Seolah-olah sudah lama kami mengenalinya, imam Masjid Hobart, satu-satunya masjid yang ada di negeri itu. Pelat jawanya masih lagi jelas, Saya dan prof. Noriah mengambil peluang berbual dalam bahasa jawa yang mengingatkan beliau akan tanah kelahirannya Sijangkang, Selangor dan ibunya. Sebagai budak kampung, beliau bercerita, beliau tidak dapat melupakan pengalaman  menoreh getah, memetik kopi dan mengait kelapa selain suka bercucuk tanam memasak makanan untuk adik-adiknya sebagai anak sulong dalam keluarga. Keikhlasan dan kerinduan pada kampung halamannya masih jelas kelihatan. Menjadi imam satu-satunya masjid yang ada diTasmania yang dibuka pada tahun 2001 oleh Datuk Effendi Norwawi.
Saya baru pulang ke Sijangkang baru-baru ini bagi melawat ibu saya. Jamaliah Taib usianya kini mencecah 86 tahun. Saya anak sulung daripada 10 beradik. Pastinya saya sentiasa merindui mereka walaupun sudah ada keluarga sendiri di Tasmania, jelas beliau
"Saya akan cuba pulang ke tanah air jika berkesempatan untuk menghabiskan masa bersama ahli keluarga," katanya. Dibahagian belakang kediaman beliau dibinanya sebuah rumah inap yang cantik bagi sesiapa yang berminat untuk tinggal ketika bermusafir ke Tasmania dilengkapi dengan dapur untuk memasak dan  saya tak pasti berapa kadar bayaran sewa yang dikenakan. Imam Sabri, yang berusia lebih 70an, bertanggungjawab bagi urusan kematian kominiti muslim dan imam jumaat di Tasmania walaupun setiap hari terpaksa berulang alik ke masjid yang terletak agak jauh dari penginapan beliau . Anak  Selangor ini adalah antara pelajar bertuah apabila ditawarkan biasiswa Colombo bagi melanjutkan pelajaran ke Universiti Tasmania (UniTas) selepas tamat tingkatan enam dari Sekolah Menengah Alam Shah di Cheras, Kuala Lumpur, pada tahun 1966.
Kami mengambil peluang membawa pulang buah epal yang baru dipetiknya disekitar rumah beliau. Malangnya kami sampai agak lewat. Kalau hari siang saya dapat bayangkan betapa gembiranya saya memetik buah-buah epal yang sedang lebat berbuah dihalaman rumahnya. Kenangan bersama imam Sabri ini suatu kenangan yang begitu indah sepanjang lawatan saya ke Pulau Tasmania ini dan seterusnya pulang ke hotel untuk berehat. Teko rene karo bojo mu yo..pesannya kepada saya dalam bahasa jawa..(datanglah sini dengan suami awak)


rendang lala

tak menoleh mak makan
                                         sumbangan hasil karya beliau kepada Imam Sabri oleh Prof Dr. Nor

bersama isteri dan beliau dihalaman rumah

bersama imam sabri dan isteri bertudung kelabu 

satu-satu masjid di Tasmania

Day 4 (Ahad 11 Mac 2018) Hobart to Cradle Mountain (391 km- 5jam 30 minit perjalanan)

Jam 900 pagi setelah selesai sarapan pagi dan check out hotel kami memulakan perjalanan dengan lafaz doa untuk meneruskan kembara di bumi selatan Australia ini. Beberapa pos kenangan di lobi dan disekitar Travelodge sebagai kenang-kenangan dan menuju ke Wellington Park atau Mount Wellington atau kunanyi dari bandar Hobart mengambil masa 20 minit perjalanan yang mempunyai ketinggian 1,271meter dari aras laut. Sungguh indah pemandangan di puncak. Disekitar puncak dihiasi dengan batuan "Pinnacle" seperti yang pernah saya lihat di Perth dahulu. Dari Puncak Mt Wellington ini jelas kelihatan bandar Hobart yang terletak di pinggir pantai dan Muara river Derwent yang kelihatan bak sekeping lukisan pada sekeping kanvas yang cukup indah. Flora dan fauna yang masih kekal terpelihara menambahkan keindahan disini. Dari menara pandang diatas puncak ini cukup memukau pandangan mata saya. Segala puji-pujian di panjatkan pada Illahi kerana memberi ruang dan peluang kepada saya menikmati alamNya yang selama ini tidak terjangkau difikiran . Semoga nikmat rezeki dan kesihatan terus dianugerahkan kepada saya untuk terus meneroka setiap inci bumiNya. Allahuakbar!
.



































































Pemandangan dari atas Mt Wellington dan dikejauhan kelihatan bandar Hobart

Seterusnya kami meneruskan perjalanan ke Strahan dan singgah ke Tahune Forest Air walk dan melihat keindahan Russel Falls. Air terjun bertingkat. Malangnya pada hari tersebut Curahan air terjun agak berkurangan. Kami melalui Hutan semula jadi yang cukup nyaman dan nasib kami baik pada hari ini, seekor Tasmanian Devil datang menyerah diri. Watak kartun kanak-kanak berdasar watak binatang ini dan meneruskan perjalanan ke utara yang mengambil masa lebih 5 jam. Disepanjang perjalanan kami dihidangkan oleh pemandangan ladang-ladang ternakan lembu tenusu dan kambing biri-biri. Perjalanan mendaki bukit dengan menempuh perjalanan yang berhutan dan berliku bagai berada di bukit putus dan di Balik Pulau Pulau Pinang. Kepala sudah mulai pening dan mual. Kecekapan pemanduan oleh TG kami harus dipuji dan kami selamat sampai di Cradel Mountain lewat tengah malam dalam keadaan kepala yang masih pening dan berehat di suasana bilik yang cukup selesa setelah penat seharian




                                                warna senja ketika kami sampai

Day 5: Isnin 12 Mac 2018 Cradle Mountain -Launceston (180km/2 jam 30 minit)

Sarapan pagi kami ambil hanya dibilik  hotel sahaja. Pemandangan sekitar Cradel Mountain Hotel memang cantik. Dilatari banjaran gunung yang membiru. Cuaca tidak menyebelahi kami pada hari itu, tetapi kami sudah bersiap siaga menghadapi cuaca yang sudah dijangka, baju hujan dan payung. Kami ke Tasik Dove yang dikelilingi oleh banjaran gunung yang terkenal itu. Cradel Mountain. Hanya berbalam-balam dari pandangan mata kami. Tenang Lake Dove seolah menyambut kedatangan kami yang berada dalam keadaan  kesejukan dan tidak membolehkan kami berada lama disini dan sempat membeli bekalan makanan bagi meneruskan perjalanan. Seterusnya kami meneruskan perjalanan dengan sedikit kekecewaan kerana tidak dapat menikmati apa itu Cradle Mountain yang telah saya google diinternet. 

Cradle Mountain jika cuaca cerah

Kami meneruskan perjalanan ke Bandar Sheffield yang terkenal dengan gelaran The Town of Mural. Ternyata disetiap premis dan kediaman dihiasi pelbagai bentuk mural dengan misi dan visi tersendiri. Disini kami mengambil peluang makan tengahari seperti biasa gorengan kentang menjadi santapan saya. Saya agak cerewet dalam memilih makanan, lebih-lebih lagi jika status halalnya diragukan. Beberapa keping gambar diabadikan disini dan sempat membeli belah beberapa cenderahati untuk dibawa pulang.





Seterusnya kami ke Cataract Gorge. Pengalaman menaiki chair lift yang terpanjang didunia dengan bayaran 12 AUD meninggalkan kesan dihati. Pemandangan dibawah amat memukau pandangan, tasik yang biru dihiasi air terjun, flora dan fauna dan pinnacles yang bercerucuk di lereng gunung. Tiada langsung perasaan gayat. Disini kelihatan beberapa ekor Wallaby sedang enak menikmati makanan yang diberi oleh pengunjung. Hidupan ini seakan-akan kangaroo tetapi lebih besar dan berwarna lebih gelap.
































Seterusnya meneruskan perjalanan ke Laucenston (tamar valley) yang mengambil masa lebih 2 jam. Disini kami menginap di Best Western Plus Launcester sebilik 4 orang. 



Day 6: Selasa 13 Mac 2018 Launceston- East Coast (Bicheno- Swansea) 390km/6 jam 30 minit

Usai mengambil sarapan di hotel kami meneruskan kembara yang memakan masa yang agak lama dan melalui jalan yang berbukit bukau dan melalui hutan demi hutan.  Sesekali ladang ternakan dan tanaman buah-buah kebanyakkan epal, anggor, pic dan berry kami lewati. Dikiri kanan jalan saya perhatikan banyak binatang yang saya kira wallaby dan Tasmanian devil mati bergelimpangan akibat dilanggar kenderaan. Binatang ini dikatakan lebih aktif diwaktu malam dan pemandu sukar untuk mengelak jika mereka melintas jalan. Seterusnya kami singgah ke Bridestowe Lavender Farm atau  Nabowla 
 Bridestowe Lavender Farm - terkenal dengan penanaman bunga lavender yang amat digemari dengan bau dan keunikan minyaknya yang pelbagai guna.



Deretan pepohonan lavender tumbuh segar di atas batasan panjang melengkung, kelihatan melaut luasnya. Namun kunjungan kami tidak pada masanya. Lautan berwarna violet pula kemuncaknya pada bulan Januari, ketika tiba saat bungaan ini dituai. Nasib tidak menyebelahi kami pada kali ini, tetapi dapatlah kami membeli beberapa buah tangan berasaskan bunga ini untuk dibawa pulang


Gift Shop-nya menarik sekali. Semuanya berwarna lavender. Dari bangunan, logo, pakaian pekerja, brosur dan banner hinggalah kepada ratusan jenis barangan yang dijual. Bau dalaman kedai amat menyegarkan dengan haruman lavender walaupun saya kira barangan disini agak mahal tetapi tersangkut juga satu dua barang kerana leka akan kemanisan bau yang amat menyegarkan disini
Kami meneruskan perjalanan ke St Helena Beach untuk makan tengahari. Burung-burung Seagull menyambut kedatangan kami. Disini saya mulai terbayang akan keenakan makanan di Tanah air, asam pedas, lemak cili api, siput sedut dan sebagainya. Tekak saya mulai menolak makanan disini. Saya hanya menjamah beberapa keping potato wedges dan sedikit calamari dan meneruskan perjalanan ke Binalong Bay yang terkenal dengan batu-batuan berwarna oren ,bay of fire dan wineglass bay lookout untuk foto stop.




         sekitar St Helena dan Seagulls










Di Bicheno Beach kami sempat melihat apa itu yang dikatakan Blow Hole dimana air laut membuak dan berhamburan melalui lubang akibat hakisan semula jadi yang sungguh mempersonakan. Disini kena berhati-hati ya, batu-batuan disini amat licin  dan kebarangkalian kita akan tergelincir jika tidak berwaspada


Seterusnya meneruskan perjalanan ke bandar Swansea dan bermalam di Holiday Park yang begitu hampir dengan laut. Senja di Tasmania ini ada kelainan dari suasana senja di Tanah air. Langit petang dihiasi cahaya kuning yang kemerah-merahan bak  api yang sedang marak membakar langit petang. Sejak awal saya tiba di Pulau selatan Australia ini, begitulah keadaan langit bila terbenamnya matahari. Disebelah malamnya pula langit dihiasi jutaan bintang yang bergemerlapan dan jelas kelihatan galaksi demi galaksi menghiasi langit malam. Terpana dengan keadaan sebegini yang saya kira tidak terdapat di negara sendiri. Di Holiday Park kami sempat memasak makanan kerana disini dilengkapi dengan peralatan memasak.









Day 7: Rabu 14 Mac 2018 East Coast- Hobart 120 km/1jam 45 minit

Hari ni merupakan hari terakhir kembara kami di Tasmania. Setelah berkemas apa yang patut kami meneruskan perjalanan menuju Hobart, Ya! airport Hobart untuk ke Melbourne dan pulang ke Kuala Lumpur tengah malam nanti. Kami singgah Sorell Fruits Farm. Bayaran dikenakan sebanyak 10 AUD dan diberi satu bekas buah-buahan percuma saya kira setengah kilo apa jua jenis buah-buahan. Strawbery, Nashi Pear, Pear, epal sedang menunggu untuk di sunting. Tak dapat dibayangkan betapa seronoknya kami memetik sambil makan buah-buahan segar  dari ladang ini. Disebabkan airport Hobart tidak melarang untuk kita membawa keluar buah-buahan segar, saya mengambil peluang membeli Nashi pear yang rangup dan manis yang sukar didapati di Malaysia. Setelah itu kami singgah Cooked Rock Lobster untuk makan tengahari sebelum bertolak ke airport Hobart. Saya mengambil peluang untuk menikmati keenakan Lobster kerana di Australia  Lobster dan oyster agak murah. Seekor Lobster yang beratnya lebih setengah kilogram dijual dengan harga 100 AUD RM 310.00). Warna merahnya sudah cukup mencairkan air lior saya. Jam 400 petang kami meninggalkan  Tasmania dengan menaiki Jetstar menuju ke Melboune. Saya hairan sewaktu pergi dan balik dari Melbourne ke Hobart dan sebaliknya terlalu ramai warga China disini. Adakah mereka ini sebagai pelancung atau sebagai pekerja di Tasmania ini.  Jam 100 pagi kami meninggalkan bandar Melbourne menujuk ke Kuala Lumpur. Perjalanan selama 7 jam 50 tidak terasa disebabkan sepanjang perjalanan saya dapat tidor dengan nyenyaknya dan jam 630 pagi KLIA sudah dihadapan mata saya.










laluan yang kami lalui sepanjang menjelajah Pulau Tasmania













 Tasmanian Devil























































            dua jejaka hensem ni TG kami sepanjang 10 hari kembara di Tasmania..








No comments:

Post a Comment