Monday 23 February 2015

Mak !!! tiada lagi panggilan itu buatku..

Sebak rasa dihati bila tangan-tangan kecil dan comel dalam senyum tawa melambai kearah aku dan hubby..bye tuk mak!!..bye tuk ayah!!..riuh suara sikecil dalam deruan enjin kereta bersama ibu ayah mereka untuk pulang ke rumah masing-masing selepas menghabiskan cuti bersama..tergenang air mata ku dan sebak bila melihat mereka pergi.

Kini aku pula menggantikan tempat aruah mak. Anak-anak pulang dan berkumpul bila ada cuti panjang. Riuh suara anak-anak berbual sesama sendiri, cucu-cucu ku berkejar-kejaran dan yang kecil merangkak kesana kemari begitu menghiburkan hati aku dan paling aku seronok bila melihat anak-anak begitu berselera dimeja makan menjamah air tangan siibu membuatkan perut ini terasa kenyang bila melihat mereka berkumpul dalam suasana yang begitu meriah.


Dulu semasa aruah mak masih ada , kami akan pulang kekampong setiap cuti panjang. Anak-anak begitu teruja bila diberitau..minggu depan balik kampong atuk!!

Keindahan kampung kelahiran ku dan rindu pada aruah mak menggamit aku untuk pulang. Terbayang wajah mak menunggu kami dimuka pintu berkain batik dan berkurung kedah dengan tersenyum riang bila seorang demi seorang anak-anak aku menerpanya sambil memeluk dan menciumnya. Mak! sihat ke? sapa aku sambil menciumnya..mak sudah siap menyediakan makanan untuk kami. Bila periuknya aku buka..ada asam pedas..ada sayur dan ikan goreng..begitulah mak. Seronoknya dia tiap kali kami pulang kekampong. Lebih meriah lagi jika adik-adik dan aruah abang serta kakak berkumpul sekali.  Biasanya akulah yang menjadi tukang masak bersama adik bungsu.  Hubby akan kepasar membeli itu dan ini. Mak bangun seawal pagi. Usai solat subuh kedengaran suara wirid mak dibilik sebelah.






kampong ku..

Bau harum dari dapur dan ketukan lesung batu mak menyediakan sarapan pagi buat kami masih tergiang-giang ditelinga aku. Anak-anak dan sepupu mereka riuh bergurauan. Tidur berselerak. Gembira sungguh mak bila anak cucu berkumpul.

Mak akan sedih bila seorang demi seorang cucunya dicium saat kami bertolak untuk pulang dan mak akan melambai tangan hingga kami hilang dari pandangannya. Mak sudah tiga tahun meninggalkan kami buat selamanya dan memori itu tetap segar dalam lipatan kenangan. Kadangkala kerinduan aku pada mak cukup memuncak dan aku tidak pernah lupa padanya. Aku tetap berbakti pada mak semampu yang boleh selagi Allah memberikan nafas dan jantung aku masih berdegup. Aruah bapak sudah begitu lama meninggalkan kami. Dia ditempat yang baik dimana semua orang islam mengimpikan untuk mati disana.


Kini aku mengambil alih posisi mak. Anak-anak aku yang dulunya kecil kini ada yang sudah berkeluarga dan mempunyai anak-anak dan yang bungsu pun sudah menginjak kealam remaja. Semalam Cuti Tahun Baru Cina. Cuti empat hari mereka gunakan untuk pulang menjengah kami. Anak-anak aku memang manja. Ada yang masih baring diribaan ku , memeluk dan mencium aku tanpa malu-malu. Sememangnya aku terapkan nilai-nila kasih sayang kepada mereka. walaupun mereka sudah remaja mereka tidak segan silu mohon disuap makanan kemulut mereka dan tidur memeluk aku walaupun lelaki..apa lagi yang perempuan..


Seronoknya tidak dapat aku gambarkan bila cucu-cucu aku merengkak kesana kemari, berlari berkejaran sesama mereka. Anak-anak bercerita tanpa jemu sesama sendiri cuma berlainan sedikit tika kami bersama mak dahulu. Dahulu mereka habiskan masa cuti dengan bermain ces, dam haji , monopoli dan lain-lain permainan. Riuh rendah bila aku dan hubby join sekali. Mak akan tersenyum melihat gelagat kami,tapi kini mereka lebih leka dengan handphone, laptop, ipad ditangan masing-masing tetapi kemeriahan itu masih tetap ujud. 



Saat paling sedih bila anak-anak satu demi satu bermohon diri untuk pulang kedestinasi masing-masing. Ciuman dan pelukan silih berganti dan paling aku sedih bila tangan-tangan kecil melambai dan menghulurkan kepala dijendela kereta sambil menjerit bye atuk mak!!! bye atuk ayah dan aku pula mengikuti pergerakan mereka hingga hilang dari pandangan mata. Senario itu mengingatkan kembali pada suasana ketika mak masih ada.  Jika aku tahu setiap bulan aku akan pulang menjengah mak. Setiap hari aku akan tanya khabar mak. Aku jauh keutara dan sibuk dengan tugas. Cuma sesekali bila cuti panjang aku akan mengambil cuti dan pulang kekampong untuk bersama mak... Kini aku rasa apa yang aruah mak rasa. Tapi dah terlambat..mak yang dulunya tersenyum gembira menyambut kami pulang  telah tiada.  Betapa nikmatnya panggilan seorang mak didunia ini rupanya..

Kepada rakan taulan...ibu, mak, ummi, mommy begitu agung bagi kita selagi kita masih bernyawa. Ketiadaanya merupakan kerugian yang amat besar bagi kita. Tiada galang gantinya. Tiada lagi doanya untuk kita..yang tinggal hanya memori.






1 comment:

  1. Sedihnya..bertukar ganti la pula yea ma..esk3 syan dh tua..ank2 pulak jengah syan.. :,(

    ReplyDelete